Sebanyak 82 peratus daripada 808 responden tinjauan dilakukan Persatuan Sokongan Keluarga dan Kebajikan Selangor dan Kuala Lumpur (Family Frontiers) percaya pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi memastikan hak sama rata bagi anak yang dilahirkan wanita warga Malaysia yang berkahwin dengan warga asing adalah penting. Justeru, majoriti responden kepada tinjauan yang dijalankan persatuan itu pada 16 sehingga 19 November tahun lalu bersetuju bahawa undang-undang kewarganegaraan sedia ada perlu dipinda. Presiden Family Forntiers, Suriani Kempe, berkata anak dilahirkan wanita warga Malaysia tidak mempunyai sebab untuk tidak diiktiraf dan penting untuk dipastikan anak-anak ini terjaga dengan memberi mereka status kewarganegaraan. Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Pelancaran ‘Malaysia Speaks: Pelancaran Tinjauan Persepsi Awam #PindaPerkara14‘ di Pusat Kreatif Kanak-Kanak Tuanku Bainun di Taman Tun Dr Ismail, dekat sini, hari ini. Turut hadir Naib Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal dan Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Seri Zurainah Musa.